Sejarah Penubuhan MRSM Transkrian,Nibong Tebal,Pulau Pinang

 

Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang merupakan maktab yang ke-34 ditubuhkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai memenuhi hasrat dan wawasan untuk mencemerlangkan institusi pendidikan MARA (IPMA) hingga bertaraf dunia. MRSM Transkrian merupakan MRSM yang kedua didirikan di Pulau Pinang selepas MRSM Balik Pulau yang beroperasi pada tahun 1984.

 

Terletak di Mukim 9, Transkrian, Nibong Tebal  di Daerah Seberang Perai Selatan, MRSM Transkrian yang luasnya 32 hektar secara rasminya beroperasi pada 1 April 2002. Seramai 17 orang guru termasuk Pengetua yang pertama, Encik Saleh bin Osman yang sebelum itu kebanyakannya berkhidmat di MRSM-MRSM lain telah melaporkan diri pada tarikh tersebut.

 

Cabaran yang dihadapi pada masa maktab ini baru dibuka tidak melemahkan semangat para pendidik untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kegemilangan bersama. MRSM Transkrian telah menerima kumpulan penuntut sulung seramai 100 orang yang merupakan pelajar-pelajar Tingkatan 4 pada 22 April 2002 manakalapelajar – pelajar Tingkatan 1 yang sebelum itu ditempatkan sementara di MRSM Pontian, Johor selama 5 bulan mula melaporkan diri pada bulan Jun 2002.

 

Kumpulan perintis ini dengan penuh semangat telah sama-sama mengharungi jerih perit untuk menjayakan agenda pendidikan MARA di sini. Kesungguhan dan kegigihan mereka tidak sia-sia kerana apabila keputusan SPM 2003 diumumkan, mereka berjaya memperoleh Gred Purata Maktab (GPM) 2.415. Kecemerlangan ini terus menjadi tradisi dan pemangkin kepada kumpulan kedua dan ketiga yang mengambil SPM pada 2004 dan 2005.

 

MRSM Transkrian telah dilengkapi dengan kemudahan bilik-bilik kelas, dewan besar, bilik seminar, makmal-makmal termasuk makmal komputer, makmal multimedia, makmal kemahiran hidup serta makmal reka cipta, surau, dewan makan, pusat pelajar dan pusat sumber pembelajaran. Beberapa kemudahan atau prasarana yang lain akan terus disediakan oleh pihak maktab demi memastikan keselesaan pelajar belajar. Dengan kerjasama Jabatan Landskap Negara (JLN), maka mulai April 2004, suasana di sekeliling kampus maktab telah bertambah ceria melalui projek pengindahan.

 

Kini, dengan gaya pentadbiran yang mantap dan tersendiri yang diterajui oleh Pengetua, Puan Hajjah Normah Binti Mohd Kasim dengan dibantu oleh Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik,En. Muhamad Mazlan Bin Hassan, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar, En. Md Abrar Bin Bujang dan Timbalan Pengetua Hal Ehwal Kokurikulum, Puan Rasmalenza Binti Mohd Rashid serta gemblengan tenaga para guru dan kakitangan yang komited, MRSM Transkrian akan terus bergerak maju untuk merealisasikan impian maktab sebagai 'A Thinking and Enriching College' dan slogan 'Better Than The Best' seiring dengan Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah) MARA, 'Pendidikan Cemerlang Generasi Gemilang'.