PENGENALAN PENUBUHAN

MAKTAB RENDAH SAINS MARA TRANSKRIAN

 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian ditubuhkan MARA betujuan memenuhi hasrat dan wawasan untuk mencemerlangkan institusi pendidikan MARA (IPMA) hingga bertaraf dunia. MRSM Transkrian merupakan MRSM yang kedua didirikan di Pulau Pinang selepas MRSM Balik Pulau yang beroperasi pada tahun 1984. MRSM ketiga di Pulau Pinang ialah MRSM Kepala Batas yang beroperasi pada tahun 2007.

Terletak di Mukim 9, Transkrian, Nibong Tebal iaitu di daerah Seberang Perai Selatan, maktab ini yang luasnya 32 hektar secara rasminya beroperasi pada 1 April 2002. Asal mulanya kawasan ini merupakan kawasan ladang. Lokasinya yang berhampiran dengan Parit Buntar (Perak) menyebabkan beberapa pihak sering menganggap bahawa maktab ini terletak dalam negeri Perak.

Berkemungkinan perkataan 'krian' itu disamakan dengan daerah Kerian sedangkan nama Krian adalah panggilan biasa orang tua-tua untuk kawasan Nibong Tebal. Daerah Kerian di Perak terletak bersebelahan dan dinamakan berdasarkan Sungai Kerian yang merentasi kawasan ini. Sungai Kerian sendiri mencatatkan sejarah terutama melalui tragedi bas sekolah terhumban ke dalamnya pada tahun 1973 di kawasan antara Parit Buntar dan Bandar Baharu (Kedah). Inilah uniknya kawasan Transkrian yang bersempadankan Parit Buntar (Perak) dan Bandar Baharu (Kedah) .